Thursday, November 22, 2018

Didikan Anak-anak Bermula dari Rumah

Pernah tak kita rasa risau, bila terbaca macam-macam isu yang berlaku di kalangan anak-anak seperti buli, bergaduh, menghisap rokok, berkelakuan tidak sopan dan sebagainya. Ya Allah, saya sendiri sebagai seorang guru dan ibu pun terkesan dengan keadaan sebegini.


Apa pun, kita kena kembali kepada perkara paling asas dalam konsep mendidik anak-anak, di mana ia bermula dari rumah. Kenapa dari rumah? Kerana ibu bapa adalah orang pertama yang membentuk dan mencorakkan anak-anak. Bukankah anak-anak umpama kain putih, kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. 

Image Source: Google Image

Didikan agama, perasaan ehsan dan empati, perasaan kasih sayang, perasaan ingin bahagia dan membahagiakan, perasaan hormat pada orang lain adalah SIKAP anak-anak yang boleh kita bentuk dan didik seusia mereka masih bayi lagi.


Namun begitu, tiada istilah terlambat untuk kita kembali membentuk dan mendidik anak-anak kita agar mereka menjadi anak yang memiliki sikap yang baik, kerana kita ada kuasa doa kepada Allah. Sebagai orang Islam, kita tak boleh putus asa, kerana Allah yang menjaga hati manusia. 


Kita sebagai ibu bapa kenalah sentiasa muhasabah diri, kerana ia mungkin berpunca daripada diri kita sebenarnya. Mulakan dengan niat yang baik, mulakan dengan solat taubat, mulakan dengan berbicara hati ke hati dengan anak, nyatakan kita sayangkan mereka, dan ubahlah diri kita terlebih dahulu, kerana sikap dan cara yang sama sangat susah untuk kita ubah orang lain, waima anak kita sendiri.


Semoga Allah membantu kita untuk mendidik anak-anak kita, InsyaAllah. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...